Pengalamanku di MeRAPOH

9:26 AM Posted In Edit This 0 Comments »
Tidak mungkin dapat saya lupakan pengalaman saya di Merapoh, Kuala Lipis Pahang. Anggota polis seperti ayah sering dihantar ke sana-sini bagi menjalankan tugas...Kami sangat teruja apabila ayah dinaikkan pangkat dan diarahkan bertukar tempat kerja di sana. Tinggal di Kuala Lipis Pahang selama 11 tahun sudah cukup lama buat kami, dan tidak salah ingin bertukar suasana baru. Dalam hidup, penghijrahan itu membawa saya pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang mampu mematangkan kehidupan. Setibanya kami di kawasan yang dikatakan agak pedalaman itu saya sangat teruja melihat suasana persekitaran kampung yang bagi saya amat mendamaikan. Merapoh, masih di daerah Kuala lipis Pahang, dan berhampiran dengan sempadan Gua Musang Kelantan.

Kami tiba dibalai polis Merapoh pada suatu petang. Di belakang balai polis terdapat padang dan sekelilingnya rumah-rumah anggota dalam bilangan yang kecil. Kami akhirnya mengemas rumah dan proses memindah barang berjalan lancar, kerana jiran-jiran tetangga sangat ringan tulang membantu kami. Rumah ini cukup luas dan amat selesa buat kami..Tetapi hati saya masih terdetik sesuatu, bagi saya rumah ini cukup suram, dan seram lebih-lebih lagi apabila saya, adik dan mak saya yang sedang sarat mengandung tinggal di rumah pada waktu malam, kerana ayah sering keluar bekerja. ..Setelah tinggal hampir satu bulan baru kami tahu, salah satu bilik di rumah itu dikunci kerana menyimpan stretcher mayat dan pelbagai lagi..

Ayah telah daftarkan saya di Sekolah Rendah Kebangsaan Merapoh. Saya sangat berdebar-debar, ketika mengikut guru kelas ke kelas baru saya, berbagai tanggapan dan andaian bermain di fikiran. Tidak sabar belajar dan berkenalan dengan rakan-rakan baru. Saya memperkenalkan diri kepada ahli kelas. Saya juga diajukan pelbagai soalan tentang sekolah lama saya S.R.K Clifford.

Tinggal di Merapoh cukup indah buat saya, saya berbasikal ke sekolah dengan menggunakan jalan-jalan di kampung bersama-sama rakan –rakan . Mak dan ayah juga tidak perlu risau akan keselamatan saya. Pada petang hari juga saya sering mengikut rakan-rakan meronda sekitar kampung. Di dalam kawasan perumahan polis juga terdapat anak sungai yang sangat cantik dan jernih, saya sering menghabiskan masa bermandi-manda serta belajar di sana. Saya juga dapat melihat kereta api lalu , kerana lintasannya berhampiran dengan kawasan perumahan kami. Masih saya ingat perkara nakal yang saya dan rakan pernah buat iaitu duduk di rail kereta api pada jam hampir 6 petang. Sememangnya kami tahu ada kereta api yang akan melintasi, kami berjanji duduk di rail hingga kereta api hampir kepada kami dan lari secepat mungkin bagi menyelamatkan diri. Kami melakukannya pada setiap petang, dan kami rasa sungguh takut dan cemas apabila kereta api hampir kepada kami dan lari apabila kereta api betul-betul hampir. Setelah berjaya melarikan diri kami rasa sangat gembira dan puas kerana berjaya menguji dan menyelamatkan diri. –awas jangan cuba aksi ini..

Saya dan rakan hanya sempat melakukanya beberapa kali dan suatu petang yang sedikit malang, ketika melarikan diri kain saya tersekat di rail ketika kereta api hampir dan nasib baik rakan saya sempat membantu saya, kami sempat lari dan jatuh di tepi landasan, nasib baik luka sedikit je..Sesungguhnya Allah itu maha adil, menyedarkan kami dan membuat kami serik .

Pengalaman di Merapoh mengajar saya pelbagai perkara antaranya semangat kejiranan yang tinggi, persahabatan,semangat belajar yang tinggi kerana saya lihat rakan-rakan di sini gigih berusaha dalam pelajaran kerana mereka membuat andaian pencapaian mereka cukup jauh daripada pencapaian sekolah Bandar.Begitu juga dengan semangat guru-gurunya. Dalam pada itu, saya yang allergic dengan sayur, mula sukakan sayur, kerana dipengaruhi oleh rakan-rakan.