Ayah ku seorang anggota polis

8:25 AM Posted In Edit This 0 Comments »



Ayahku seorang anggota polis. Itulah yang aku tahu di kala aku masih kecil dan keanak-anakkan. Aku melihat ayah kerja di kala siang dan malam. Malah kadang kala aku cemburu melihat waktu ayah yang diambil oleh tugasnya yang bagai tidak ada henti. Aku juga kadang-kala merungut kecil apabila waktu cuti raya ayah dibekukan dan kami tidak dapat merayakan hari yang mulia itu bersama-sama. Aku juga sering bertanya kepada ibuku kenapa ayah tidak bekerja seperti ayah rakan-rakanku. Yang mana masa kerjanya lebih teratur.


Namun kata orang alah biasa tegal biasa. Aku lama-kelamaan mengerti pekerjaan ayah yang mencuri masanya. Malah aku juga turut bosan dengan pertanyaan keluarga yang bertanya tentang ayah apabila kami pulang ke kampung. Tidakkah mereka mengerti tugas ayah. Hari demi hari ku amati ayah tekun bekerja. Di kala itu gaji ayah begitu kecil. Malah ada juga keluarga kami yang memperkecilkan kerja ayah. Hati aku merugus geram. Tidakkah mereka tahu penat dan keringat ayah adalah untuk berjuang demi kebahagiaan orang lain. Hidup di kalangan keluarga polis telah mematangkan ku tetang tugas seperti ayah.


Saban hari ayah juga sering membawa pulang cerita mengenai kes dan jenayah yang bersangkutan pekerjaannya. Malah masih ku ingat di kala ayah dinaikkan pangkat kerja ayah lebih berat. Ayah juga sering mengendalikan kes-kes kematian yang mengerikan. Aku juga sering mencuri membaca buku report yang ditulis oleh ayah. Hatiku lantas tertarik dengan setiap kes yang dicatatkan. Bagiku menjadi seorang polis menjadikan ayah cukup arif tentang hidup dan kemanusiaan . Lantas dalam diam ku simpan niat ingin menggengam tugas seperi ayah. Aku sering mendengar desas-desus yang menyatakan polis kaya kerana banyak makan rasuah. Bagiku tidak untuk ayah. Ayah menjalankan amanah dengan sempurna kerana dia tahu pekerjaannya adalah mulia dan keringat dan usahanya untuk menampung kehidupan kami sekeluarga. Aku menjadi berang kadang-kala rakan-rakan menuduh polis yang bukan-bukan. Tidak aku nafikan semua manusia itu bukan sempurna. Ada juga polis yang jahat, salah gunakan kuasa. Tetapi bukan semua begitu, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kalau jadi cikgu pun ada juga cikgu yang jahat, ujarku. Sebab itu ada kes guru ditahan kerana pukul murid sampai pengsan.


Setelah aku tamat sekolah aku tergerak hati ingin masuk ke bidang ini. Namun hasratku tidak disenangi oleh ayah. Dia ingin aku lanjutkan pelajaran dan mencari pekerjaan yang lain yang lebih baik katanya. Dalam hati aku tahu, ayah tidak mahu jejak beratnya diikuti oleh anak-anaknya. Setelah ayah pencen nanti adakah ahli keluarga kami nanti yang mengikut jejak ayah? Ayah perlu tahu tugasnya telah sedikit sebanyak mengheret kami ke bidang ini. Mana mungkin kami jauh dari keadaan dan persekitaran ini. Aku amat bangga dengan tugas ayah. Mungkin mereka yang jauh tidak mengerti tugas ini. Dengan titik peluh dan keringat ayah dalam tugasnya dia mampu menanggung hidup kami sehingga aku ke universiti.

0 comments: